UTP tersenaraI dalam Ranking Universiti Dunia QS: Sustainability 2024 buat julung kalinya

UTP tersenaraI dalam Ranking Universiti Dunia QS: Sustainability 2024 buat julung kalinya

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Petronas (UTP) buat julung kalinya tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Sustainability 2024 yang berprestij.

Dalam edisi terkini ranking itu, daripada 1,403 institusi yang dinilai di seluruh dunia, UTP menduduki tempat ke-557 peringkat global, ke-129 di peringkat serantau dan ke-10 di peringkat nasional,

UTP dalam kenyataan hari ini berkata pengiktirafan ‘Sustainability’ itu, yang merupakan ukuran penting komitmen institusi untuk menangani cabaran global, dikategorikan kepada Kesan Alam Sekitar (45 peratus), Kesan Sosial (45 peratus) dan Tadbir Urus (10 peratus).

Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata pengiktirafan itu mencerminkan dedikasi UTP terhadap kemampanan merentas semua aspek kehidupan universiti – daripada penyelidikan dan pendidikan hinggalah kepada operasi kampus.

“Kami berbesar hati untuk disenaraikan dalam kelompok bersama dengan institusi global yang berkongsi komitmen kita untuk memberi kesan positif kepada dunia,“ katanya.

Sebagai subsidiari Petronas, laluan kemampanan UTP dilihat melalui empat kaca mata kemampanan Petronas, yakni memastikan penciptaan nilai yang berterusan, membawa impak sosial yang positif, memiliki tadbir urus yang bertanggungjawab dan memelihara alam sekitar.

“Kami bekerjasama rapat dengan Petronas untuk meneroka cara bagaimana kita boleh menyumbang kepada matlamat Petronas untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar (NZCE) menjelang 2050 melalui penyelidikan, pendidikan dan amalan mampan,” katanya.

Menurut UTP, memasuki senarai QS World University Rankings: Sustainability 2024 merupakan pencapaian penting bagi universiti yang telah menghasilkan lebih 23,000 graduan dari lebih 60 negara itu, dan UTP kekal komited dalam usahanya ke arah mencapai keunggulan global yang mampan.–Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *