IPOH: Polis Perak merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM49.2 juta bagi tempoh Januari hingga 20 Nov tahun ini, kata Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Beliau berkata rampasan itu membabitkan 479.1 kilogram dan 2.13 juta biji pelbagai jenis dadah antaranya syabu, ketamin, pil ekstasi, Erimin 5, ganja dan heroin.
Mohd Yusri berkata susulan itu juga sebanyak 12,685 individu telah ditahan dengan 2,260 individu mempunyai bekalan dadah, 5,832 individu memiliki dadah, 98 individu pula ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala 4,495 lagi didapati positif dadah.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 549 individu telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak RM7.7 juta nilai sitaan harta dilakukan sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata sejumlah 486 individu termasuk sembilan warga asing ditahan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah menerusi Op Tapis Khas yang dilaksanakan di seluruh negeri selama tiga hari bermula Isnin lepas.
Kesemua suspek ditahan menurutnya, merupakan 481 lelaki dan lima wanita berumur lingkungan 16 hingga 67 tahun.
“Nilai rampasan keseluruhan dadah sepanjang operasi itu ialah RM55,061 merangkumi 235.67 gram (g) heroin, 234.2 g syabu, 48.71 g ganja, 10 kilogram ketum, 32.45 liter cecair ketum dan 30 biji pil Erimin 5.
“Polis turut menyita sebuah kereta, tiga motosikal dan wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM22,500,“ katanya.
Mohd Yusri berkata tumpuan operasi pada kali ini adalah di sekitar kawasan perumahan, jeti nelayan, Felda, Felcra serta kawasan penagih yang telah dikenal pasti. – Bernama
