KANGAR: Langkah kerajaan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 Nov lepas adalah keputusan signifikan yang boleh menjimatkan perbelanjaan negara sekali gus sumber kewangan itu dapat digunakan untuk memenuhi keperluan lain untuk masyarakat secara bersasar.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Mohd Zukime Mat Junoh berkata penghentian subsidi itu membolehkan kerajaan memperuntukkan kewangan berkenaan bagi menyokong usaha melaksanakan program bantuan sosial kepada golongan memerlukan.
“Dengan menghentikan subsidi ayam, kerajaan dapat mengurangkan perbelanjaan terus yang diperlukan untuk menyokong harga ayam kepada pengguna. Ini boleh membantu mengurangkan defisit fiskal dan membolehkan kerajaan menggunakan sumber kewangan secara lebih efisien.
“…kerajaan boleh memberikan sokongan kepada kumpulan sasar yang memerlukan. Ini mungkin termasuk menyokong pendidikan, kesihatan, pembangunan sosial atau program bantuan yang lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang medianya pada 30 Okt lepas memaklumkan yang kerajaan mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sejak Februari tahun lepas.
Mohamad dipetik sebagai berkata rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Mohd Zukime berkata sekiranya pengalihan dana yang sebelumnya digunakan untuk subsidi ayam itu disalurkan kepada program bantuan sosial boleh membantu meningkatkan kesamarataan ekonomi dengan memberikan manfaat kepada golongan kurang berkemampuan secara langsung.
“Saya percaya apabila kerajaan memutuskan untuk menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam ini, harga ayam tetap stabil selagi kos faktor input proses pengeluaran ayam masih terkawal…kerajaan dan badan pemantauan pasaran mungkin perlu memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti peniaga ayam dan mengenakan tindakan tegas sekiranya ada tindakan tidak patut daripada peniaga,” katanya.
Selain itu, beliau berkata keputusan kerajaan menamatkan subsidi ayam dan mengelakkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati golongan warga asing dan berpendapatan tinggi adalah satu tindakan yang boleh dianggap sebagai usaha meningkatkan kesamarataan dalam sistem subsidi.
“Walau bagaimanapun, penilaian keberkesanannya boleh menjadi subjektif dan bergantung kepada matlamat sebenar yang ingin dicapai oleh kerajaan. Ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan secara kritis antaranya kesannya terhadap golongan berpendapatan rendah.
“Apabila subsidi dihapuskan, adalah penting untuk memastikan golongan berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan terus dapat mengakses ayam dengan harga yang berpatutan. Jika tidak, tindakan ini mungkin membebankan golongan yang sudah miskin,” katanya.
Mohd Zukime berkata selain itu, adalah penting untuk mengkaji kesan terhadap industri ayam tempatan dalam usaha menjaga kelestarian industri berkenaan kerana keputusan itu mungkin mempengaruhi industri ayam tempatan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Perlis Razali Lebai Salleh berkata beliau menyokong langkah kerajaan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam itu kerana sumber kewangan yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk memenuhi keperluan kebajikan rakyat.
“Baguslah langkah ini, kerajaan boleh guna duit daripada penamatan subsidi ayam ini untuk kegunaan lain bagi manfaat rakyat dan saya juga percaya tidak akan berlaku harga ayam melampau tinggi selepas ini sebab peniaga akan saling bersaing untuk jual pada harga yang rakyat mampu beli.
“Rakyat pun perlu bijak memilih, tengok mana harga ayam yang berpatutan sebelum membeli,” katanya yang turut mengharapkan pemantauan harga ayam serta penguatkuasaan dilakukan berterusan untuk memastikan tiada peniaga memanipulasikan harga ayam serta mengaut keuntungan melampau. – Bernama
