KPKT peruntuk RM3.4 juta baiki sistem perparitan Teluk Intan

KPKT peruntuk RM3.4 juta baiki sistem perparitan Teluk Intan

TELUK INTAN: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan peruntukan khas berjumlah RM3.4 juta kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) bagi kerja-kerja pembersihan dan menaik taraf sistem perparitan di semua kawasan perumahan di daerah itu.

Menterinya Nga Kor Ming berkata kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan segera bagi mencegah banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) bulan ini.

“Peruntukan ini juga untuk memperbaiki sistem perparitan yang sumbat, rosak dan usang. Ini merupakan sebagai langkah pencegahan untuk mengelak berlakunya banjir lagi kerana bandar Teluk Intan sering kali banjir sejak 60 tahun lalu.

“Jadi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak perlu sentiasa bersiap siaga supaya kita pastikan Teluk Intan akan menjadi sebuah bandar yang bebas banjir,“ katanya kepada pemberita.

Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan komputer riba kepada 50 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sithambaram Pillay, di sini hari ini.

Beliau berkata peruntukan itu hanya untuk kawasan perumahan sahaja dan bagi kampung tradisi, peruntukan bagi kerja-kerja serupa akan disediakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Dalam pada itu, Nga turut mengingatkan kontraktor penyelenggaraan sistem perparitan yang dilantik supaya tidak culas dalam melaksanakan tugas.

“Teguran ini kepada kontraktor sekiranya gagal menyelia sistem perparitan, kita tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak mereka,“ katanya.-Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *