PRK Jepak: SPR jangka peratusan keluar mengundi 65%

PRK Jepak: SPR jangka peratusan keluar mengundi 65%

BINTULU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada Sabtu ini mencapai 65 peratus.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata jangkaan peratusan itu juga lebih tinggi berbanding 63 peratus yang direkodkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021 bagi DUN itu sebelum ini.

“Kita berharap semua pengundi di kawasan Jepak dapat keluar mengundi pada masa yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses persiapan petugas SPR bagi PRK itu di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata terdapat 14 pusat mengundi membabitkan 45 saluran pada PRK DUN Jepak.

“Waktu mengundi akan bermula pada 7.30 pagi hingga 5.30 petang dan terdapat beberapa pusat mengundi yang akan tutup pada pukul 4 petang. Kita juga menjangkakan pengumuman keputusan dapat dibuat pada pukul 9 malam,” katanya.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

PRK DUN Jepak pada 4 Nov ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.

DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *