KOTA TINGGI: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata remaja itu dikenali sebagai Nurul Ain Sarafika A Latiff yang beralamat di No 1179, Blok 11, Felda Bukit Waha di sini.
“Ciri-ciri fizikal Nurul Ain Sarafika, 13, berketinggian 130 sentimeter seberat 35 kilogram, berkulit kuning langsat dan berambut hitam paras bahu serta mempunyai tanda lahir di perut.
“Kita sedang mengesan dan meminta bantuan orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja itu,“ katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Polis Daerah Kota Tinggi hari ini.
Justeru, orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat tentang individu berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat jenayah Inspektor Nur Ramizah Azemi melalui talian 013-5028750 atau kunjungi mana-mana balai polis berhampiran. – Bernama
