KPN: Tambahan peruntukan NSRC tingkat kemampuan bendung jenayah penipuan

KPN: Tambahan peruntukan NSRC tingkat kemampuan bendung jenayah penipuan

KUALA LUMPUR: Tambahan peruntukan bagi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) kepada RM20 juta untuk tahun depan berbanding RM10 juta pada tahun ini, dapat meningkatkan lagi fungsi unit itu membanteras jenayah penipuan yang semakin meningkat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (gambar) berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan segala dana yang disalurkan kepada pasukan berkenaan termasuk untuk NSRC dimanfaatkan sepenuhnya dengan tata kelola kewangan yang terbaik.

“Ia bagi memastikan keamanan dan ketenteraman dapat dijaga sejajar dengan usaha pembangunan Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan malam semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani hari ini, mengumumkan penambahan peruntukan kepada NSRC itu selain peruntukan bagi menggantikan tujuh pesawat enjin berkembar dan lima helikopter ringan untuk PDRM.

Menurut Razarudin perolehan menggantikan aset lama itu dapat memperkukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara, begitu juga dengan peruntukan RM19 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya PDRM kekal komited dengan fokus menyampaikan perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata PDRM juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan terhadap peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri untuk pasukan itu seperti penyelenggaraan kuarters warga PDRM, menambah bilangan anjing pengesan dan pemberian ganjaran untuk agensi penguat kuasa yang menunjukkan prestasi cemerlang. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *