PEMM sokong inisiatif kerajaan teliti tindakan Indonesia haram jualan di tikTok

PEMM sokong inisiatif kerajaan teliti tindakan Indonesia haram jualan di tikTok

KUALA LUMPUR: Persatuan Ekonomi Muslim Malaysia (PEMM) menyatakan sokongan penuh kepada kerajaan untuk meneliti tindakan Indonesia baru-baru ini yang mengharamkan jualan e-dagang di platform TikTok.

Presiden PEMM Abdul Hannan Abdullah berkata era digital mempersembahkan pelbagai peluang, dan adalah penting untuk membuat keputusan yang bijaksana bagi mengekalkan asas-asas sosioekonomi Malaysia.

Beliau berkata peningkatan mendadak TikTok Shop telah mendorong penelitian mengenai pengaruhnya, dan ramai usahawan menyuarakan kebimbangan mengenai usaha gigih dan inovasi mereka sering kali tidak mendapat penghargaan atau perlindungan yang sewajarnya di platform itu.

“Pemeriksaan lebih teliti terhadap dasar tadbir urus TikTok Shop amat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hannan juga menyatakan bahawa mekanisme pengumpulan data komprehensif TikTok Shop telah menimbulkan persoalan mengenai keselamatan dan penggunaan data.

“Persoalan yang besar timbul tentang bagaimana cara data ini digunakan, keselamatan penyimpanannya dan implikasi yang lebih luas pada skala nasional dan antarabangsa. Persoalannya apakah tiada relevan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (dengan pengumpulan data),” katanya.

Beliau berkata TikTok Shop mungkin menjadi jambatan kepada transaksi produk tiruan berikutan hubungan globalnya dengan pengeluar, dan ini berpotensi merisaukan industri tempatan dan kepercayaan pengguna.

Abdul Hannan turut memetik Laporan MyIPO 2022 yang mendedahkan fakta yang perlu direnungkan tentang landskap e-dagang, iaitu dengan barangan tiruan bernilai sebanyak RM1.2 bilion dirampas pada tahun itu.

Daripada jumlah ini, RM400 juta dikaitkan secara langsung dengan platform dalam talian itu, katanya.-Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *