PETALING JAYA: Tiga pemain skuad Harimau Malaya tidak dapat menyertai hari pertama kem latihan kendalian jurulatih Kim Pan Gon sebagai persiapan menghadapi Pestabola Merdeka 2023 bermula 13 Okt ini.
Pan Gon berkata tiga pemain itu ialah tonggak Sabah FC, Stuart Wilkin, Nooa Laine dan pertahanan Buriram United, Dion Cools yang akan menyertai kem latihan bermula Isnin atau Selasa ini.
Beliau berkata Nooa and Cools mempunyai komitmen masing-masing bersama kelab mereka manakala Stuart mengalami kecederaan hamstring yang tidak serius dan memerlukan rawatan susulan sebelum memulakan latihan.
“Saya fikir Nooa dan Cools akan tiba malam Isnin ini. Kini kita ada 23 pemain dan cukup untuk sesi latihan untuk beberapa a hari nanti. Hanya Stuart sedikit keletihan kerana kecederaan hamstring,” katanya kepada pemberita di gelanggang latihan Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.
Mengikut jadual Pestabola Merdeka, Malaysia akan menentang India pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Okt ini.
Jika menang, Malaysia akan meneruskan aksi bertemu pemenang pemenang antara Palestin atau Tajikstan di pentas final pada 17 Okt ini. – Bernama
