KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul (gambar) berkata beliau sedang melihat dengan serius langkah-langkah perlu dilaksanakan termasuk memotong elaun Ahli Parlimen jika mereka terus tidak hadir ketika sesi sidang Parlimen.
Johari berkata beliau perlu melaksanakan sesuatu yang lebih ketat untuk meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan parlimen yang diwakili.
Beliau berkata ada cadangan termasuk daripada bekas Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang mahu Peraturan Mesyuarat Parlimen dipinda untuk memudah cara pelaksanaan tindakan sedemikian.
“Saya rasa ia adalah agak wajar kerana pada masa sekarang kami tidak ada peraturan itu bermakna Ahli Parlimen tidak ada kekangan melakukannya. Selepas hadir buat seketika, mereka blah, ini tidak adil, kata bekas Ahli Parlimen Gurun itu dan menambah beliau juga sedia untuk meningkatkan ketelusan dengan memuat naik rekod kedatangan Ahli Parlimen dalam laman sesawang Parlimen.
Tetapi saya perlu melihat pada aspek perundangan sama ada ia boleh atau tidak tetapi bagi saya secara peribadi sudah tentu ia wajar tetapi sekali lagi seperti saya katakan saya perlu melihat kepada mekanisme dan undang-undang termasuk Peraturan Mesyuarat sama ada ia dibenarkan atau tidak, kata beliau pada mesyuarat Kelab Concorde hari ini. -Bernama
