JERANTUT: Projek menaik taraf Jalan Benta-Jerantut-Maran Fasa 1 Segmen 7 di sini yang melibatkan peruntukan lebih RM71 juta telah siap dilaksanakan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata antara kerja-kerja menaik taraf melibatkan jalan tunggal dua lorong sedia ada, pengalihan utiliti, pengambilan tanah, baik pulih jambatan, pemasangan lampu isyarat dan lampu jalan serta lampu isyarat pejalan kaki.
Menurutnya projek pembaikan jalan sepanjang 6.7 kilometer (km) yang melibatkan laluan dari Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut ke Kampung Lata Kasah itu mengambil masa lebih lima tahun untuk disiapkan bermula Disember 2017.
“Pandemik COVID-19 antara faktor menyebabkan kelewatan kerja naik taraf…dan kini ia telah siap untuk digunakan sepenuhnya,“ katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Laluan Persekutuan 64 (FT64) Jalan Benta-Jerantut-Maran Fasa 1 Segmen 7 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata dengan pelaksanaan projek berkenaan ia dapat memberi manfaat kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk Jerantut apabila mereka dapat memandu dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa.
Beliau berkata projek di FT64 Jalan Benta-Jerantut-Maran itu secara keseluruhannya melibatkan kerja naik taraf jalan sepanjang 140 km merangkumi tiga fasa dan 10 segmen yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
Laluan FT64 ini mempunyai beberapa elemen yang perlu ditambah baik berikutan keadaan geometri jalan raya yang bengkang-bengkok dan sempit, katanya.
Justeru, projek berkenaan dilaksanakan bertujuan mengurangkan risiko kemalangan, memastikan keselesaan dan kesalinghubungan pengguna jalan raya khususnya penduduk di Benta, Jerantut serta Maran. -Bernama
