Lelaki ditahan bantu siasatan video tular anak muda berhibur tanpa permit

Lelaki ditahan bantu siasatan video tular anak muda berhibur tanpa permit

GUA MUSANG: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu rakaman video yang tular memaparkan sekumpulan anak muda sedang berhibur di sebuah dewan di Paloh,, di sini, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo, berkata lelaki berusia 28 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada jam 9.30 malam, Khamis lalu.

Beliau berkata lelaki tersebut mempunyai satu kad pesakit mental serta menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Chiku 3, di sini dan didapati negatif dari sebarang jenis dadah berbahaya.

“Hasil siasatan awal mendapati sebanyak empat kumpulan muzik telah hadir di dewan pada 23 Sept lalu (Sabtu) termasuk dua dari Kelantan dan satu kumpulan masing-masing dari Terengganu dan Kuala Lumpur.

“Tempahan dewan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp kepada penjaga dewan pada 4 Sept lalu dengan kadar RM200 secara transaksi atas talian bagi tujuan sewaan untuk bermain muzik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sik berkata persembahan muzik diadakan bermula jam 9 pagi hingga 7 malam namun tiada sebarang tiket dijual bagi persembahan yang dibuat.

“Siasatan turut mendapati seramai 30 individu hadir dalam persembahan hiburan terbabit, malah terdapat aktiviti meminum minuman keras oleh pengunjung.

“Tiada sebarang permit permohonan hiburan telah dipohon pihak penganjur. Polis masih mengesan seorang lelaki Melayu yang membuat sepanduk acara dan permohonan sewaan dewan bagi persembahan hiburan tersebut,” katanya.

Sik berkata pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo T1X berwarna hitam bagi membantu siasatan.

Menurut Sik, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan permit penganjuran berbentuk hiburan muzik daripada mana-mana pihak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan 1998. Kami menyeru mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan video sekumpulan anak muda sedang berhibur terbabit untuk menyalurkan maklumat di talian 09-9121222 atau di balai-balai berdekatan,” katanya. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *