LTdL 2023: Hijau warna baharu jersi pendahulu keseluruhan

LTdL 2023: Hijau warna baharu jersi pendahulu keseluruhan

KUALA LUMPUR: Penganjur Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) hari ini mengumumkan penukaran warna jersi pendahulu keseluruhan daripada kuning kepada hijau bagi perlumbaan itu yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 30 Sept ini.

Penukaran warna pendahulu keseluruhan bagi jelajah bertaraf ProSeries itu berikutan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kini penaja perdana (title sponsor) perlumbaan berbasikal berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata warna itu yang sinonim dengan warna korporat penaja perdana atau utama itu bakal digunakan bagi perlumbaan berprestij tersebut selama tiga tahun selaras dengan tempoh penajaan syarikat minyak negara itu.

Tanpa mendedahkan jumlah penajaan daripada Petronas, Hannah berkata jumlah yang disalurkan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menganjurkan perlumbaan berkenaan.

“Jumlah penajaan kita tak boleh didedahkan, tapi saya berharap jumlah itu dapat berubah setiap tahun. Saya percaya Majlis Sukan Negara mampu melaksanakan yang terbaik, sebab itu Kabinet menyerahkan tugas ini kepada MSN sebagai agensi pelaksana.

“Manfaat (LTdL) bukan sahaja dari nilai ekonomi yang kami dapat bila kita anjur acara seperti ini tetapi juga untuk golongan belia dan rakyat yang menonton,” katanya kepada pemberita pada majlis pengenalan rakan penaja perdana LTdL 2023 di MSN di Bukit Jalil hari ini.

Jersi LTdL bagi pendahulu keseluruan sebelum ini merupakan warna kuning sejak pertama kali diadakan pada 1996.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas Datin Anita Azrina Abd Aziz berkata langkah Petronas memberi tajaan utama itu adalah sebagai sokongan terhadap arena sukan tanah air.

“Sebagai penaja perdana pulangan kepada kami lebih dari apa yang kami berikan seperti nilai pulangan dari media, pelaburan kepada atlet Malaysia dan dari segi pelancongan sukan,“ katanya.

Anita Azrina berkata pihaknya akan berbincang dengan MSN untuk mempertimbang mengadakan LTdL di luar venue sedia ada seperti di Sabah dan Sarawak.

“Tidak mustahil untuk diadakan (di Sabah dan Sarawak). Kami akan bekerjasama dengan MSN, kita mesti berunding lagi untuk jumlah penajaan,” katanya.

LTdL 2023 akan menampilkan 132 pelumba daripada 22 pasukan berstatus WorldTeam, ProTeam dan Continental selain pasukan kebangsaan.

Edisi kali ini menyaksikan laluan melibatkan 11 negeri dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu (184.4km); Peringkat 2 Kuala Terengganu-Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli-Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km); Peringkat 5 Slim River-Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur (157km). -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *