Wong hasrat perkasa kandungan berita Bernama, bawa ke tahap lebih tinggi

Wong hasrat perkasa kandungan berita Bernama, bawa ke tahap lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu Datuk Seri Wong Chun Wai (gambar) berhasrat untuk membantu memperkasakan kandungan berita Bernama hingga digunakan dengan meluas oleh pertubuhan berita di luar negara.

“Dengan kelebihan memiliki jaringan perhubungan yang luas bersama-sama organisasi media luar negara serta kelebihan saya sebagai bekas wartawan, saya harap saya dapat membantu mengangkat nama Bernama di mata dunia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman pelantikan Pengerusi Bernama di Menara Angkasapuri di sini, hari ini.

Selain itu beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil di atas pelantikannya sebagai Pengerusi Bernama yang berkuat kuasa 1 Sept lepas.

Pada masa sama, Wong merancang untuk mendapatkan beberapa berita eksklusif untuk agensi berita itu melalui pengalaman dan kepakaran beliau dalam dunia kewartawanan.

Walaupun sebagai Pengerusi dan tidak terlibat secara langsung dalam operasi yang terletak di bahu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin, Wong berharap dapat menyumbangkan kepada pasukan Jabatan Pengarang.

“Mungkin saya boleh membantu dalam mengatur untuk mendapatkan (berita) eksklusif untuk Bernama dan itu memang niat saya untuk mendapatkan ‘scoop’ atau berita eksklusif untuk Bernama, itu saya janji.

Bernama satu institusi yang ikon kerana sudah lebih 55 tahun jadi saya berharap sebagai seorang wartawan mempunyai pengalaman 38 tahun, saya berharap saya dapat memainkan peranan saya menyokong meningkatkan mutu dan harapan Bernama,“ katanya.

Wong berkata apa yang lebih penting tugas beliau sebagai Pengerusi Bernama yang baharu adalah untuk membantu menaikkan hasil pendapatan buat agensi media itu.

“Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman dalam korporat sebagai Pengarah Urusan The Star saya berharap dapat membantu dengan sedaya upaya saya naikkan hasil pendapatan dan itu yang paling penting membantu Bernama,“ katanya.

Terdahulu, Fahmi menyerahkan surat pelantikan Pengerusi Bernama kepada Wong bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Sept lepas hingga 31 Ogos, 2025. Pelantikan beliau bagi menggantikan Datuk Ras Adiba Radzi yang tamat kontrak pada 23 Jan lepas.

Turut berlangsung adalah majlis penyampaian surat pelantikan kepada anggota Majlis Penyeliaan Bernama dan Lembaga Pengelola Bernama yang meliputi anggota mewakili kerajaan dan akhbar. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *