
PETALING JAYA: Seorang bekas kakitangan Shell dijatuhi hukuman penjara 21 tahun di Singapura selepas mengaku bersalah terlibat dalam skim penyelewengan bahan api dari fasiliti syarikat minyak dan gas itu di Pulau Bukom.
The Straits Times melaporkan, rakyat Malaysia Richard Goh, 56, mengaku bersalah atas 24 tuduhan berkaitan konspirasi menyeleweng minyak gas marin bernilai SGD100 juta (RM312.3 juta) antara Ogos 2014 dan Januari 2018.
Dia juga berdepan 26 tuduhan tambahan, menjadikan jumlah keseluruhannya 50 pertuduhan – 39 bagi pecah amanah, enam untuk pengubahan wang haram, empat untuk rasuah dan satu bagi penggunaan dadah.
Goh mengaku menerima sekurang-kurangnya SGD1.5 juta daripada hasil jenayah tersebut, yang dibelanjakannya untuk membeli hartanah dan sekurang-kurangnya dua buah kereta, selain melabur serta menyimpan sebahagian daripadanya.
Dia bersetuju supaya aset bernilai SGD1.07 juta yang disita daripadanya dilucut hak sebagai pampasan kepada syarikat minyak dan gas tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Dedar Singh Gill membenarkan permohonan Goh untuk menangguhkan hukumannya dan mengarahkan dia menyerah diri di mahkamah pada 20 April.
