Sepanyol tak benar pesawat berkait perang Iran lalu ruang udara

Timbalan Perdana Menteri Carlos Cuerpo, berkata penerbangan lintas pesawat tentera yang beroperasi dari pangkalan di UK atau Perancis juga tidak dibenarkan. (Gambar EPA Images)

MADRID: Kerajaan Sepanyol menutup ruang udara negara itu kepada semua pesawat yang mempunyai kaitan dengan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ekonomi Carlos Cuerpo dalam temu bual, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Langkah itu “adalah sebahagian daripada keputusan kerajaan Sepanyol untuk tidak menyertai atau menyokong perang ini, yang dimulakan secara unilateral dan melanggar undang-undang antarabangsa,” kata Cuerpo kepada stesen radio Cadena Ser.

Larangan itu bukan sahaja merangkumi pelepasan dari bumi Sepanyol, malah penerbangan lintas pesawat tentera yang beroperasi dari pangkalan di United Kingdom atau Perancis, lapor akhbar El Pais dan agensi berita Europa Press sebelum ini, memetik kerajaan sayap kiri pimpinan Perdana Menteri Pedro Sanchez.

Madrid adalah antara pengkritik paling lantang di Eropah terhadap operasi ketenteraan AS-Israel.

Sejurus selepas perang bermula, ahli politik Sosialis itu melarang AS daripada menggunakan pangkalan tentera Rota dan Moron untuk operasi menentang Iran.

Pangkalan di Andalusia yang terletak di selatan negara itu telah dikendalikan secara bersama oleh Sepanyol dan AS selama berdekad.

Author: admin