
KUALA LUMPUR: Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (Mita) mengumumkan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran, berkuat kuasa serta-merta, bagi membantu operator dan pelancong menyesuaikan diri dengan kenaikan harga diesel.
Menerusi kenyataan, Mita memaklumkan langkah ini diambil ekoran bas dan van persiaran serta feri tidak dimasukkan dalam mekanisme subsidi diesel negara sejak subsidi pukal dimansuhkan pada 2024.
Kadar tambang bas persiaran kini ditetapkan sehingga RM1,100 bagi siri lawatan dan antara RM1,900 hingga RM2,200 untuk lawatan harian domestik, manakala kos sewaan van pula adalah sehingga RM900 bagi siri lawatan.
Perjalanan bas dari Kuala Lumpur ke Kelantan akan menelan belanja sebanyak RM2,400, manakala perjalanan ke Pulau Pinang dan Ipoh pula berharga RM1,900.
Kadar baharu ini akan berkuat kuasa sehingga Rabu (1 April), namun Mita tidak menyatakan sama ada kadar tersebut akan diteruskan selepas tarikh berkenaan.
Menurut Mita, ini merupakan langkah penyelesaian pantas jangka pendek bagi memastikan operator dapat terus menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang selamat, diyakini dan berkualiti tinggi.
“Langkah ini terpaksa diambil bagi memastikan penggiat industri pelancongan dapat bertahan dan terus berkhidmat kepada pelanggan,” kata presidennya, Mint Leong, pada sidang media hari ini.
Leong turut menggesa kerajaan agar mempertimbangkan semula sokongan subsidi diesel untuk kenderaan persiaran, dengan mencadangkan kuota bulanan sebanyak 3,000 liter bagi bas dan 2,500 liter bagi van.
“Kami sedar bahawa bukan mudah untuk dapatkan subsidi sedemikian. Permohonan kami sebelum inipun ditolak,” katanya.
Harga diesel telah meningkat sebanyak RM2.40 kepada sekitar RM5.52 seliter sepanjang tiga minggu lalu berikutan kekangan bekalan tenaga yang dikaitkan dengan konflik di Timur Tengah.
