Diyat perlu diteliti lindungi hak waris mangsa nahas, kata menteri

Zulkifli Hasan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan, berkata nahas melibatkan Amirul Hafiz Omar merupakan satu bentuk kecuaian yang tidak boleh dikompromi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mekanisme diyat berupa pampasan berasaskan syariah wajar diteliti sebagai instrumen keadilan kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dalam nahas melibatkan pemandu mabuk, di Jalan Raya Barat, Klang, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan, berkata hak waris mangsa tidak boleh diabaikan dan pendekatan diyat perlu diberi perhatian bagi memastikan keadilan serta perlindungan sewajarnya kepada keluarga waris.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya insiden tragik di Klang yang meragut nyawa seorang bapa, Allahyarham Amirul Hafiz Omar akibat pemandu dipercayai mabuk dan positif dadah. Tindakan memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi membahayakan nyawa orang lain.

“Kejadian ini amat menyedihkan dan satu bentuk kecuaian yang tidak boleh dikompromi kerana melibatkan kehilangan nyawa yang tidak ternilai. Saya menggesa Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap pelaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, satu perbincangan mengenai pelaksanaan diyat telah digerakkan pada 11 Feb lalu di Putrajaya bersama mufti serta barisan tokoh dan pakar dalam bidang masing-masing di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Zulkifli berkata, usaha itu bertujuan memastikan perlindungan keadilan dan hak waris selain menyokong pelaksanaan diyat berasaskan syariah melalui kajian undang-undang dan takaful.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik kenyataan Kementerian Pengangkutan yang sedang merangka pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara.

“Semoga keadilan ditegakkan dan kejadian ini menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya. Moga roh Allahyarham Amirul Hafiz Omar ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Klang Selatan Lim Jit Huey memaklumkan seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam nahas di Jalan Raya Barat di Klang.

Insiden yang berlaku pada 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas bumbung kereta lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakaman video kemalangan itu turut tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta dipandu laju memotong garisan berkembar dan merempuh sebuah motosikal sehingga mengakibatkan penunggangnya melambung sebelum tercampak ke atas kenderaan lain.

Author: admin