Dakwaan letak jawatan timbalan presiden PKR berniat jahat, kata Nurul Izzah

nurul izzah
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, segala maklumat sahih hanya akan disalurkan melalui kenyataan rasmi parti.

PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar menyifatkan maklumat palsu kononnya beliau meletak jawatan timbalan presiden PKR sebagai spekulasi berniat jahat.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menegaskan, dakwaan peletakan jawatan itu sebagai tidak benar sama sekali.

“Saya kekal komited menjalankan amanah diberikan selaras dengan mandat anggota parti dan proses demokrasi organisasi,” katanya dalam kenyataan.

“Tiada sebarang perubahan berlaku dalam struktur kepimpinan sedia ada, dan fokus utama saya kini adalah untuk terus memperkukuh agenda perjuangan parti.”

Nurul Izzah berkata, beliau menghargai keprihatinan semua pihak, namun menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat palsu.

“Segala maklumat sahih hanya akan disalurkan melalui kenyataan rasmi parti,” katanya.

Pada 28 Mac, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil turut menafikan dakwaan Nurul Izzah meletak jawatan sebagai timbalan presiden, sambil menggambarkan dakwaan sedemikian sebagai ‘berita palsu’.

Nurul Izzah, anak kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, menang pemilihan jawatan nombor dua itu bagi penggal 2025-2028 pada pemilihan parti tahun lepas.

Beliau menewaskan penyandang, Rafizi Ramli, dalam pertembungan satu lawan satu.

Susulan kekalahannya, Rafizi, ketika itu menteri ekonomi, meletak jawatan.

Author: admin