Perang Timur Tengah mampu lonjak pelancongan domestik, kata Karim

klia
Kerajaan sasar 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan RM329 bilion dalam resit pelancongan di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

PETALING JAYA: Seorang menteri kanan Sarawak berkata konflik di Timur Tengah mampu melonjakkan pelancongan domestik.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata ketidakstabilan global mendorong peningkatan pelancongan domestik apabila rakyat memilih melancong dalam negara, berbanding ke luar negara.

“Berdasarkan pengalaman lepas seperti ketika pandemik Covid-19, walaupun sempadan ditutup dan penerbangan terhad, industri pelancongan Sarawak masih dapat bertahan melalui pebagai program dilaksanakan,” katanya menurut Bernama pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri kementeriannya, di Kuching.

Karim berkata, program Sia Sitok berjaya merancakkan pelancongan domestik apabila rakyat tempatan mengambil peluang meneroka destinasi dalam negeri.

Katanya, Sarawak bersedian melaksanakan pelan kontingensi seperti Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 bagi berdepan sebarang krisis ekonomi sekiranya konflik itu berpanjangan.

“Sekiranya perkara menjadi mudarat, kritikal, saya percaya kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan ada pelan kontingensi untuk meringankan bebanan rakyat.

“Jangan panik. Kita ambil pendekatan dan berfikiran positif dalam menghadapi apa-apa masalah dan musibah ini.”

Awal bulan ini, satu firma penyelidikan menyatakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) kerajaan mungkin terjejas akibat ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah serta peralihan sentimen global.

Dalam nota penyelidikan, TA Research berkata sasaran besar kempen itu iaitu 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan RM329 bilion dalam resit pelancongan mungkin terkesan disebabkan cabaran konflik di rantau berkenaan.

Ketegangan di Timur Tengah semakin memuncak sejak 28 Feb selepas Israel dan AS menyerang Iran, yang kemudiannya bertindak balas dengan serangan balas terhadap kepentingan Israel dan AS di negara Teluk.

Author: admin