
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan kerana menampar seorang remaja di sebuah premis makanan di Stesen LRT Pasar Seni, Selasa lalu.
Ketua Polis Dang Wangi, Sazalee Adam, berkata penganggur 44 tahun yang mempunyai satu rekod jenayah berkaitan narkotik itu ditahan di tepi Jalan Masjid India, dekat sini, pada 3.40 petang tadi.
“Suspek mengaku menampar muka mangsa sehingga jatuh kerana berasa marah apabila mangsa mengorek hidung di sebelahnya semasa menunggu giliran membeli roti,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Sebelum ini, media melaporkan remaja 13 tahun itu cedera ditampar seorang lelaki tidak dikenali ketika dia hendak membeli roti di sebuah premis.
Mangsa dilaporkan berkata, dia terus ke kaunter selepas melihat tiada orang beratur, sebelum ditampar lelaki terbabit secara tiba-tiba.
