
PETALING JAYA: Lenggong Geopark di Perak diiktiraf antara 12 Unesco Global Geopark (UGGp) baharu tahun ini, dengan pengumuman rasmi oleh lembaga eksekutifnya pada 23 April ini.
Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah, berkata majlis penyampaian sijil di ibu pejabat Unesco di Paris dijadualkan pada 27 April nanti.
Beliau yang juga timbalan menteri dalam negeri berkata, kejayaan itu hasil kerjasama pelbagai pihak, termasuk kerajaan Perak, Badan Pengurusan Lenggong Geopark, agensi persekutuan serta komuniti setempat, dalam usaha melonjakkan jenama Lenggong ke peringkat antarabangsa.
“Pasti pencapaian ini mengukuhkan usaha kita ke arah pemuliharaan alam semula jadi serta pengurusan mampan kawasan bernilai antarabangsa.
“Pengiktirafan yang bakal diperolehi ini juga membuktikan Lenggong memiliki khazanah bernilai tinggi bertaraf antarabangsa yang penting dan perlu dipelihara,” katanya dalam catatan Facebook.
Lenggong diwartakan Geopark Kebangsaan pada 16 Dis 2021, yang juga geopark kedua di Perak.
