
PETALING JAYA: Sebuah gerai menjual mercun dan bunga api musnah dalam kebakaran di Johor Bahru, Johor malam tadi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran di Kampung Dato Sulaiman Menteri ini. Dua kenderaan turut musnah dalam kejadian.
“Khemah pasang siap yang menjual mercun dan bunga api musnah 90% manakala kereta terbakar 80% dan sebuah trak makanan 73%,” kata Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Nakish Nekmat, lapor Bernama.
Bomba berkata 11 anggota digerakkan selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.32 malam. Kebakaran berjaya dikawal pada 8.42 malam.
Video memaparkan kejadian ini tular di media sosial.
