Bomba, JKT diarah semak semula SOP gerai jualan bunga api

Nga Kor Ming
Menteri Nga Kor Ming arah bomba dan JKT semak SOP gerai jualan bunga api sementara bagi memastikan keselamatan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bomba serta Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) diarah menyemak semula tatacara operasi standard (SOP) gerai jualan bunga api sementara di seluruh negara, bagi memastikan musim perayaan disambut dengan selamat tanpa kejadian tidak diingini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata langkah itu bertujuan memastikan setiap peniaga beroperasi dengan penuh tanggungjawab, dan keselamatan komuniti setempat diutamakan.

“Garis panduan ini menekankan jarak keselamatan yang sesuai antara gerai serta menilai semula lokasi supaya tidak terlalu hampir dengan struktur kekal atau kawasan kediaman,” katanya di Facebook.

Beliau berkata setiap gerai berlesen perlu dilengkapi alat pemadam api yang berfungsi bagi membolehkan tindakan segera sekiranya berlaku kebakaran.

“Keselamatan dan kemeriahan harus seiring. Dengan memperhalusi garis panduan ini, kami komited memperkukuh keselamatan awam supaya rakyat Malaysia dapat menikmati suasana musim perayaan secara selamat,” katanya.

Kejadian kebakaran gerai jualan bunga api dilaporkan berlaku di beberapa lokasi. Awal pagi Ahad, sebuah gerai pelbagai jenis mercun di Pulau Pinang, musnah dan mengakibatkan kerosakan sebuah motosikal dan tiga unit penyaman udara rumah berhampiran.

Malam tadi, kebakaran berlaku di Johor, yang memusnahkan sebuah gerai mercun, sebuah kereta, dan sebuah trak makanan.

Author: admin