
PETALING JAYA: Pasukan bomba giat memadam kebakaran di tapak pelupusan sisa pepejal di Pulau Burung, Nibong Tebal, sejak awal pagi tadi.
Kebakaran yang belum dapat dikawal itu membabitkan kawasan dianggarkan seluas 929m persegi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal serta Sungai Bakap dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.40 pagi tadi.
Seramai 18 anggota, termasuk seorang pegawai penyelia bergegas ke lokasi, dengan pasukan bomba sukarela dari Sungai Jawi, Nibong Tebal, Valdor dan Parit Buntar turut membantu operasi pemadaman itu.
“Kami sedang melaksanakan operasi pemadaman dan pengawalan kebakaran secara aktif di lokasi.
“Dua jengkaut digunakan bagi mewujudkan pemisah api untuk mengelakkan kebakaran merebak,” kata Penolong Pengarah Operasi JPPM negeri, John Sagun Francis menurut Berita Harian.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan setakat ini dan keadaan dipantau rapi, dengan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Bulan lalu, kebakaran turut berlaku di tapak pelupusan sama yang menjejaskan kawasan dianggarkan seluas 0.09 hektar atau 0.72% daripada keseluruhan kawasan seluas 12.95 hektar itu.
Kebakaran itu membabitkan timbunan sisa setinggi 6m yang memerlukan jentera berat membantu operasi pemadaman.
