
PETALING JAYA: Lagu raya antara elemen penting memeriahkan sambutan Aidilftri dan melodi klasik menggamit nostalgia dendangan legenda muzik tanah air turut menjadi simbol penyatuan pelbagai generasi.
Selepas berdekad, irama tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas tetap berkumandang di corong radio, pusat beli-belah dan rumah terbuka, yang turut menjadi siulan ramai, tidak kira muda atau tua.
Ikon seperti P Ramlee, Saloma dan Sudirman Arshad meninggalkan warisan muzik bukan sekadar hiburan, tetapi sebahagian daripada identiti budaya Malaysia.
Faktor lagu klasik kekal popular
Bagi pengarah muzik, Raja Farouk Raja Zaini Ismail, daya tarikan lagu ini bermula dengan gubahan muzik, contohnya banyak lagu Ramlee mempunyai melodi mudah diingati, susunannya tampak ringkas, tetapi di sebalik itu terselit perincian luar biasa.
“Apabila meneliti muzik itu, kita akan sedar susunan dan struktur kordnya agak rumit.”
Ramlee sering menggabungkan elemen muzik tradisional Melayu dengan pengaruh orkestra Barat, pendekatan disifatkan Raja Farouk sebagai “inovatif secara halus”. Biola, bahagian brass dan seruling muncul dalam susunan yang jarang didengari dalam muzik popular tempatan ketika itu.
“Kemudian, barulah saya sedar ada sebab dia menulis lagu-lagunya begitu. Dia bukan cuba menjadikannya sukar. Dia hanya cuba jadikannya muzikal.”
Liriknya membantu menjadikan lagu itu sebati dengan kehidupan seharian.
Diterbitkan pada 1959, “Dendang Perantau” masih bergema hingga kini kerana ia menceritakan pengalaman raya yang begitu dekat di hati — beraya jauh dari kampung halaman.
Lagu itu menceritakan kisah perantau menyambut lebaran jauh daripada keluarga, perasaan yang masih difahami ramai rakyat Malaysia hingga kini.
Bagi Raja Farouk, kejujuran emosi itu menjelaskan kekuatan abadi lagu berkenaan.
“Kali ini, saya boleh katakan melodi memainkan peranan kedua. Jalan cerita dan penulisannya menjadi watak utama.”
Lagu penyatuan rakyat Malaysia
Penyanyi dan pelakon Sean Ghazi, yang membawa watak Ramlee dalam sebuah pementasan muzikal pada 2007, berkata penghibur legenda itu benar-benar mewakili identiti Malaysia yang dibentuk pelbagai pengaruh.
“Beliau mewakili prototaip rakyat Malaysia. Jika anda mencari contoh apa ertinya menjadi rakyat Malaysia, beliau sangat hampir dengan gambaran itu.”
Keterbukaan itu yang membentuk gaya seni Ramlee, membantu muziknya mudah merentasi pelbagai komuniti.
Sean menyifatkannya “sangat kosmopolitan” daripada cara berpakaiannya hinggalah cara beliau membawa diri, seniman yang selesa mengambil inspirasi daripada pelbagai budaya.
“Baru-baru ini, saya menaiki Grab dan pemandunya, seorang uncle Cina sedang nyanyi lagu ‘Getaran Jiwa’.
“Itu agak menarik. P Ramlee tergolong dalam generasi lebih tua, tetapi juga milik generasi baharu dan akan datang. Itu yang menjadikannya seniman sangat hebat.”
Artis muda terokai karya klasik
Penyanyi dan pencipta kandungan, Chin Pui Ting yang lebih dikenali Pudds, mengakui jarang mendengar lagu klasik ketika kecil.
“Saya rasa ini agak biasa dalam kalangan masyarakat Cina tempatan, kami tidak banyak terdedah kepada P Ramlee atau Saloma semasa kecil. Saya pernah lihat nama mereka dalam buku teks sekolah, tetapi tidak mengenali lagu mereka.
Beliau semakin menghargai muzik klasik apabila terbabit secara aktif dalam dunia muzik Malaysia dan mula mendalami muzik Melayu, sebelum mendendangkan beberapa lagu klasik.
“Saya mahu memberi penghormatan kepada sebab utama saya mula mendalami muzik Melayu. Saya juga suka lagu-lagu itu secara umum.”
Antara lagu yang pernah dinyanyikannya ialah “Bunyi Gitar” yang dipopularkan Saloma.
Bagi Pudds, kekuatan emosi dalam lagu klasik sedemikian punca ia mampu menyentuh hati pendengar hingga hari ini kerana “muzik menyampaikan perasaan jauh lebih baik daripada kata-kata”.
“Muzik melampaui kata-kata dan bahasa. Anda boleh dengar sebarang lagu dalam apa-apa bahasa dan tetap merasai sesuatu.”
Sudirman dalam ingatan
Tidak banyak lagu yang mampu menggambarkan semangat raya seperti “Balik Kampung”. Diterbitkan pada 1984, dendangan Sudirman ini kekal irama paling dikenali dalam senarai lagu perayaan Malaysia.
Lagu itu meraikan perjalanan yang difahami setiap rakyat Malaysia: tarikan untuk pulang ke kampung halaman, yang disambut insan tersayang.
Anak saudara Sudirman, Razman Azrai Zainudin yang lebih dikenali Atai, sangat memahami warisan lagu seniman itu.
Atai yang juga penyanyi, melancarkan album sulungnya berjudul “Sahabat” pada 1980-an di bawah bimbingan Sudirman, dengan penghibur tersohor itu membantu membentuk arah rakaman berkenaan.
Katanya, sebahagian daya tarikan “Balik Kampung” kekal popular terletak pada keunikan perkataan itu yang begitu sinonim dengan rakyat Malaysia. “Sehingga hari ini, tiada perkataan bahasa Inggeris yang boleh menggantikannya.”
Beliau percaya keikhlasan di sebalik muzik Sudirman juga menjelaskan sebab lagunya masih berkumandang sehingga kini.
Lebih tiga dekad selepas pemergian Sudirman, Razman percaya karya bapa saudaranya masih mencerminkan bab penting dalam budaya Malaysia. “Beliau khazanah dan cerminan Malaysia pada era 1980-an.”
Saban tahun menjelang hari raya, alunan lagu Sudirman, Ramlee dan Saloma menceriakan perjalanan pulang perantau ke kampung halaman.
