Meski mampu namun tak mudah Hamzah jadi penyatu PN-BN, kata penganalisis

HAMZAH ZAINUDIN
Kelmarin, Hamzah Zainudin berkata beliau yakin mampu menjadi ‘jambatan’ atau faktor penyatu antara dua gabungan politik besar bagi memastikan kestabilan politik dan kepentingan rakyat.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin dilihat berkemampuan menggabungkan gabungan besar seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis yang bagaimanapun menekankan usaha itu tidak mudah.

Mazlan Ali.
Mazlan Ali.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Hamzah diakui mampu menjadi operator untuk memulakan sebarang kerjasama politik berdasarkan latar belakang serta rekod beliau terutama apabila bersama PN.

Menurutnya, banyak pihak terutama PAS mengiktiraf keupayaan Hamzah dengan memberi kepercayaan kepadanya menjadi ketua pembangkang dari 2022 hingga kini walaupun hanya memegang jawatan setiausaha agung Bersatu ketika itu.

Hamzah dipecat Bersatu, 13 Feb lalu akibat konflik dengan Presiden Muhyiddin Yassin dan memegang jawatan terakhir selaku timbalan presiden.

“Bagaimanapun untuk menggabungkan BN dan PN mungkin agak sukar memandangkan BN mempunyai hala tuju serta strategi sendiri.

“Namun tidak mustahil,” kata Mazlan kepada FMT.

Kelmarin, Hamzah berkata beliau yakin mampu menjadi ‘jambatan’ atau faktor penyatu antara dua gabungan politik besar bagi memastikan kestabilan politik dan kepentingan rakyat.

Menurutnya, landskap politik Malaysia ketika ini memerlukan seseorang yang boleh merapatkan jurang antara pelbagai kumpulan politik bagi membentuk pasukan lebih besar dan stabil.

Tanpa menamakan gabungan parti mana, kenyataan Hamzah itu dipercayai merujuk kepada PN dan BN.

Tawfiq Yaakub
Tawfik Yaakub.

Sementara itu, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata pemecatan Hamzah dari Bersatu tidak melemahkan bekas menteri dalam negeri terbabit terutama dari segi gerakan serta percaturan politik.

Malah menurutnya, Hamzah setakat ini boleh dikatakan ‘pemenang’ dalam persaingan dengan Muhyiddin kerana dikatakan menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen Bersatu.

“Pimpinan PN pun dikuasai PAS daripada pengerusi sehingga bendahari gabungan manakala Bersatu turun pangkat dari pengerusi kepada timbalan selain posisi tidak terlalu penting iaitu pengarah pilihan raya,” katanya.

Namun, Tawfik berpendapat keyakinan Hamzah untuk menjadi jambatan dan operator antara gabungan besar agak ‘janggal’ terutama jika membabitkan BN dan Bersatu, iaitu parti komponen dalam PN.

“Agak meleset sekali kerana disebabkan beliau Umno porak peranda pada 2019 dengan membawa enam Ahli Parlimen ke Bersatu, dan terkini menyebabkan Bersatu pula kucar kacir,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui daya penarik Hamzah seperti kemampuannya menarik sokongan terutama wakil rakyat untuk bersama ‘pasukan baharu’ selain dari segi pengurusan khususnya aspek kewangan.

“Ia dapat membantu parti dari segi operasi infrastruktur pejabat dan menjaga akar umbi,” katanya.

Author: admin