
RIYADH: Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar akan menyambut Aidilfitri esok.
Istana Diraja Arab Saudi dalam satu kenyataan pada Rabu mengumumkan bahawa Mahkamah Agung telah memutuskan hari terakhir Ramadan di negara itu jatuh pada Khamis, manakala 1 Syawal disambut pada Jumaat, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Sementara itu, Istana Presiden UAE turut membuat pengumuman serupa yang menyatakan Khamis merupakan hari terakhir bagi Ramadan di negara berkenaan, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Menurut kenyataan Istana Presiden berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pencerapan Anak Bulan bagi bulan Syawal 1447 Hijrah yang bersidang pada Rabu malam di Abu Dhabi, serta penelitian laporan pencerapan di seluruh negara, anak bulan Syawal tidak kelihatan pada malam itu.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Pencerapan Anak Bulan Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Qatar turut mengumumkan Khamis sebagai hari ke-30 dan terakhir bagi Ramadan, manakala Aidilfitri jatuh pada Jumaat.
Jawatankuasa itu memaklumkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat di ibu pejabat kementerian itu pada Rabu malam bersamaan 29 Ramadan 1447 Hijrah, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
