Kehadiran 2 kapal tentera laut AS di P Pinang sekadar persinggahan logistik, kata Khaled

khaled
Khaled Nordin menjelaskan persinggahan kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukan sesuatu yang luar biasa. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang baru-baru ini hanyalah persinggahan sementara bagi urusan logistik, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Beliau berkata, kapal USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) berlabuh dari 14 hingga 16 Mac sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.

“Kehadiran ini adalah port of call untuk tujuan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta memberi peluang rehat kepada anak kapal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjawab gesaan segelintir pihak supaya kerajaan menjelaskan kehadiran aset tentera laut Amerika Syarikat (AS) di perairan negara.

Semalam, New Straits Times melaporkan dua kapal tempur pesisir milik AS dilihat berlabuh di NBCT pada Ahad. Kapal-kapal yang dikonfigurasikan untuk tugas pembersihan ranjau itu sebelum ini ditempatkan di Timur Tengah.

Mengulas lanjut, Khaled menjelaskan persinggahan kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan dan pelayaran antarabangsa.

Menurutnya, ia juga sebahagian daripada usaha diplomasi pertahanan yang bertujuan meningkatkan keyakinan antara negara selain membantu memelihara kedaulatan serta keutuhan wilayah.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai dasar dan prosedur jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing sama ada di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.

“Setiap permohonan perlu melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambahnya, port of call seperti itu berlaku secara berkala membabitkan pelbagai negara rakan yang melalui laluan strategik seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Katanya, persinggahan itu lazimnya berkait dengan penyertaan dalam eksesais dua hala atau pelbagai hala serta misi antarabangsa bagi memastikan kestabilan serantau dan keamanan global.

“Ia selaras dengan prinsip digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Malaysia menerima 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan dan diurus selaras kepentingan keselamatan negara.

Selain AS, negara lain antaranya Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, Perancis, Britain, Kanada dan Singapura.

Author: admin