Mat Sabu pertahan seruan tanam sayuran sendiri

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menggalakkan rakyat yang tinggal di rumah atas tanah memulakan tanaman yang memberi pulangan hasil cepat seperti cili, terung dan kucai. (Gambar Facebook Mohamad Sabu)

PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mempertahankan seruan beliau supaya rakyat menanam sayuran susulan ketidaktentuan bekalan global susulan konflik geopolitik di Asia Barat.

Beliau berkata, negara maju seperti Singapura dan Jepun juga mementingkan pertanian bandar dan menggalakkan tanaman sendiri walaupun memiliki dasar makanan yang kukuh.

Katanya, cadangan itu tidak wajar diperlekehkan kerana ia dilaksanakan seiring dengan pelbagai langkah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menangani potensi gangguan rantaian bekalan global.

Kalau ada yang melihat usaha kecil rakyat dan pegawai KPKM sebagai tidak signifikan, itu hak masing-masing,” katanya di Facebook, lapor Bernama.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengulas kenyataan seorang Ahli Parlimen bahawa cadangan menanam sayur sendiri tidak akan menyelesaikan isu keterjaminan makanan kerana berskala kecil dan tidak memberikan kesan signifikan kepada bekalan makanan negara.

Jumaat lalu, Mohamad mengarahkan pegawai di kementeriannya menanam sayuran sendiri kerana perang di Asia Barat melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran tiada tanda-tanda akan berakhir.

Mohamad berkata kementerian menggalakkan pegawai yang tinggal di rumah atas tanah memulakan tanaman yang memberi pulangan hasil cepat.

Beliau berkata, program itu akan dimulakan dengan tanaman seperti cili, terung, kucai dan sebagainya.

Mohamad juga berkata kerajaan akan mengambil langkah awal untuk memperkukuh keterjaminan makanan, termasuk meningkatkan stok penimbal beras negara agar dapat bertahan sehingga sembilan bulan.

Author: admin