
PETALING JAYA: Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) 2026 diaktifkan secara serentak di 1,098 lokasi di seluruh negara hari ini dengan menyasarkan penyertaan sehingga 10,000 usahawan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan, berkata sasaran penyertaan itu adalah dua kali ganda berbanding lebih 5,000 usahawan yang terlibat pada tahun lalu.
Menurutnya, inisiatif di bawah Perkhidmatan Pintar NADI itu bertujuan memperkasa usahawan tempatan dan meluaskan peluang pemasaran produk mereka pada musim perayaan.
“Bazar Raya NADI yang berlangsung serentak ini sekali gus memperkukuh peranan NADI sebagai platform ekonomi komuniti yang semakin berkembang.
“Ia adalah kesinambungan daripada edisi 2026, bukan sekadar platform jualan bermusim. Ia adalah sebahagian dariapda usaha berterusan SKMM untuk memperkukuh ekosistem ekonomi digital komuniti dan merapatkan jurang digital.
“Ia juga bagi meningkatkan daya saing sosioekonomi rakyat, selaras dengan objektif penubuhan NADI,” katanya.
Terdahulu, isteri perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan program berkenaan hari ini serentak dengan Kempen Internet Selamat.
Pada 7 Mac lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyempurnakan Majlis Kick-Off Bazar Raya NADI di NADI PPR Kerinchi sebagai simbolik pelancaran peringkat nasional.
Tahun ini, program itu turut dipromosikan di lima lokasi tumpuan utama lain iaitu NADI Sungai Tua, Gombak, Selangor; NADI Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Ipoh, Perak; Padang Bola Sri Johor 4AB, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Kulai, Johor Bahru; serta NADI Kubang Semang (Yayasan Aman), Pulau Pinang bagi memperluas keterlihatan dan impak program di seluruh negara.
Selain aktiviti jualan, program terbabit turut diisi dengan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan keselamatan Internet dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.
Bazar terbabit turut menampilkan kolaborasi strategik antara SKMM dengan beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui pelaksanaan Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani.
