SPRM beku akaun bernilai RM4 juta dalam siasatan penyelewengan tanah

MACC-SPRM LOGO
SPRM menyiasat kes penyelewengan tanah di Hulu Selangor itu di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masing-masing membekukan lima akaun syarikat dan individu dianggarkan kira-kira RM4 juta dalam siasatan penyelewengan tanah membabitkan seorang pengarah syarikat.

Menurut sumber, siasatan dijalankan SPRM Selangor bermula sejak 9 Mac lalu turut membekukan dua akaun unit amanah bernilai RM2.6 juta dan beberapa akaun simpanan syarikat serta individu berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

“Pada masa yang sama, siasatan SPRM kini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan penipuan,” katanya.

Semalam, seorang pengarah syarikat yang juga merupakan pemegang amanah ke atas tanah seluas kira-kira lapan ekar di sebuah ladang di Hulu Selangor telah ditahan reman lima hari hingga Isnin depan.

Setakat ini seramai 24 orang saksi telah diambil keterangan. SPRM juga masih mengesan saksi-saksi yang terlibat di dalam kes terbabit bagi tujuan rakaman percakapan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Author: admin