
PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar, mungkin ‘dihenjut’ sebelum menulis Muhyiddin Yassin bukan calon perdana menteri, kata Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.
Katanya, presiden Bersatu itu sekadar menerangkan bahawa pengerusi PN bukan automatik calon perdana menteri memandangkan perkara itu ditentukan dalam mesyuarat gabungan.
“Sama juga waktu Muhyiddin jadi pengerusi PN, beliau juga bukan automatik calon perdana menteri… Dalam semangat musyawarah kita akan buat keputusan. Itu yang dimaksudkan Muhyiddin yang ditempelak.
“Samsuri mungkin telah diberi soalan yang salah ataupun ‘dihenjut’,” katanya dalam temu bual audio siar The Tiger Show.
Faizal ditanya tentang hantaran Samsuri di Facebook pada 5 Mac lalu, menyatakan seperti dirinya Muhyiddin juga bukan lagi calon perdana menteri PN.
Samsuri mengulas laporan media yang memetik kenyataan Muhyiddin bahawa pelantikan sebagai pengerusi PN bukan jaminan dijadikan calon perdana menteri.
“Saya fikir kita semua sentiasa belajar dan saya fikir tentunya Samsuri boleh ambil satu pengajaran,” kata Faizal.
Beliau turut menasihatkan pentadbir media sosial Samsuri supaya lebih berhati-hati dalam mengendalikan kenyataan pemimpin itu.
“Tolonglah periksa dan jaga bos itu elok-elok. Kita ada pemimpin yang baik di sini. Jangan rosakkan dia,” katanya.
Samsuri yang juga naib presiden PAS menggantikan Muhyiddin sebagai pengerusi PN selepas beliau meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Susulan pelantikannya, beberapa pihak termasuk Pemuda PAS mencadangkan menteri besar Terengganu itu diangkat sebagai calon perdana menteri pada PRU16.
