Kedudukan di pusat jadikan PH Sabah masih relevan, kata Mustapha

pakatan harapan bendera
Mustapha Sakmud menekankan PKR dan PH masih relevan di Sabah dengan peranan peringkat nasional memandangkan Ketuanya Anwar Ibrahim mengetuai pentadbiran Putrajaya.

PETALING JAYA: Meskipun berdepan keputusan mengecewakan dalam PRN November tahun lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Mustapha Sakmud optimis gabungan itu dan PKR akan kekal sebagai kuasa politik di negeri itu.

Beliau yang juga ketua PKR Sabah menyandarkan keyakinan itu kepada pengaruh besar PH dalam landskap politik nasional.

Dalam temu bual bersama FMT, Mustapha menegaskan kedudukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR dan pengerusi PH sebagai ketua kerajaan di Putrajaya menjadi faktor utama mengapa kehadiran mereka di Sabah tidak boleh dipandang sepi.

“Walaupun mungkin (pengundi) di Sabah nampak menyokong parti tempatan tetapi dari sudut nasional kita amat relevan,” kata Ahli Parlimen Sepanggar itu.

Menjelang PRU16, beliau menjelaskan tumpuan utama PH Sabah adalah untuk memperkukuh kerjasama dengan sekutu politik, baik di peringkat tempatan mahupun nasional.

“Kita harap kerjasama dengan parti-parti lain akan terus diperkukuhkan. Yang penting bagaimana kita menjalinkan kerjasama demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Mustapha mengakui bukan tugas mudah mempertahankan tiga kerusi Parlimen milik PH iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan memandangkan dinamika politik tempatan kini sudah berubah.

Mustapha Sakmud
Mustapha Sakmud menekankan PKR dan PH masih relevan di Sabah dengan peranan peringkat nasional memandangkan Ketuanya Anwar Ibrahim mengetuai pentadbiran Putrajaya.

Beliau berkata PH Sabah sudah mula mengatur langkah dengan mengenal pasti calon berpotensi serta merangka strategi rapi bagi memastikan ketiga-tiga kawasan itu kekal dalam genggaman mereka.

Buat masa ini, kerusi Kota Kinabalu disandang Chan Foong Hin manakala Vivian Wong mewakili Sandakan, kedua-duanya daripada DAP.

Untuk rekod, PH berdepan tamparan hebat pada PRN Sabah November lalu apabila hanya mampu memenangi satu daripada 22 kerusi yang ditandingi.

DAP pula tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandinginya, termasuk kubu kuat di kawasan Parlimen Kota Kinabalu (Luyang, Api-Api, dan Likas) serta Sandakan (Elopura dan Tanjong Papat) yang dirampas oleh Warisan.

Sementara itu, DUN Darau dan Inanam terletak di bawah Sepanggar dimenangi Warisan manakala Karambunai dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Author: admin