Dakwa libat urus di gereja: Fadhlina gesa pihak lempar fitnah mohon maaf

Fadhlina Sidek b
Fitnah dan berita yang cuba ganggu-gugat keharmonian serta membangkitkan rasa marah dan salah faham tidak boleh dibiarkan, kata Menteri Fadhlina Sidek. (Gambar Bernama)

BUKIT MERTAJAM: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengesa pihak yang melemparkan fitnah kononnya satu program melibatkan sekolah diadakan di gereja diminta tampil memohon maaf kerana kenyataan itu tidak benar dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Fadhlina berkata dakwaan yang tular itu boleh menjejaskan keharmonian lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

“Kita ada terima aduan berkaitan satu kenyataan fitnah yang mendakwa kita (Kementerian Pendidikan) mengadakan program di gereja dan ia telah menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Sebenarnya, program itu diadakan di sebuah sekolah antarabangsa iaitu satu sesi libat urus berkaitan dengan apa yang kita panggil sebagai pemegang taruh sekolah ataupun prasekolah swasta. Sesi itu berlaku dalam dewan.

“Ini bulan Ramadan dan apa sahaja fitnah dan berita yang cuba mengganggu-gugat keharmonian serta membangkitkan rasa marah dan salah faham dalam masyarakat tidak boleh dibiarkan,” katanya di majlis berbuka puasa.

Fadhlina berkata setakat ini pihaknya mengambil pendekatan menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat.

“Majlis itu dihadiri ramai pemegang taruh yang terlibat dalam sesi libat urus tersebut dan ia berlaku dalam dewan, fasiliti yang baik dan perbincangan pun baik,” katanya.

Terdahulu, KPM menafikan dakwaan bahawa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan tadika swasta zon utara yang berlangsung semalam diadakan di sebuah gereja seperti yang tular di media sosial.

Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad berkata sesi itu dilaksanakan di dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption di Bukit Mertajam.

Beliau berkata pemilihan lokasi itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk kemudahan dan fasiliti yang tersedia, selain bertujuan mengetengahkan peranan sekolah antarabangsa sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan swasta negara.

Author: admin