Rakyat diseru sedia depani cabaran ekonomi ekoran krisis Timur Tengah

shopping hypermarket
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil seru orang ramai agar berbelanja secara berhemah, terutamanya memandangkan negara mungkin berdepan iklim ekonomi mencabar jika konflik Timur Tengah berlarutan.

PETALING JAYA: Komponen Pakatan Harapan, Amanah menggesa rakyat Malaysia agar bersedia menghadapi kemungkinan cabaran ekonomi susulan konflik berterusan di Timur Tengah, yang telah mengakibatkan lonjakan harga minyak mentah.

Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil menyeru orang ramai agar berbelanja secara berhemah sebagai persediaan menghadapi cabaran tersebut, terutamanya memandangkan negara mungkin berdepan iklim ekonomi yang mencabar jika konflik itu berlarutan.

“Amanah turut mengingatkan pembangkang untuk tidak mempolitikkan isu perang yang sedang tercetus ini untuk kepentingan politik. Kenaikan harga minyak adalah kesan global, namun Amanah percaya kerajaan Madani akan mengambil semua langkah perlu menstabilkan harga minyak dalam negara.

“Justeru, rakyat diseru untuk bersama kerajaan Madani membuat persediaan berhadapan sebarang cabaran ekonomi susulan perang ini dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat,” katanya dalam kenyataan.

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil.

Beliau menambah, Amanah telah menyarankan semua bahagian dan ahlinya untuk menyambut Aidilfitri tahun ini secara bersederhana, selaras dengan langkah kerajaan membatalkan penganjuran rumah terbuka Raya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan menganjurkan sebarang rumah terbuka Aidilfitri sebagai sebahagian langkah penjimatan, mengambil kira kesan ekonomi akibat konflik Timur Tengah.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga telah diarahkan untuk berbuat perkara sama.

Dalam pada itu, kerajaan turut akan mengehadkan lawatan ke luar negara.

Walaupun Putrajaya akan mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter di bawah skim BUDI95, harga tanpa subsidi telah dinaikkan 60 sen.

Harga petrol RON97 turut naik 60 sen manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia meningkat 80 sen berikutan kenaikan harga minyak global.

Konflik di Asia Barat telah membawa kepada penutupan Selat Hormuz, laluan utama kira-kira 20% bekalan minyak dunia, sekali gus mencetuskan lonjakan harga minyak.

Author: admin