
PETALING JAYA: Kerajaan Sabah akan membantah permohonan peguam negara bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah berhubung hak negeri ke atas 40% hasil bersih persekutuan yang diperolehi daripada Sabah bagi tahun 1974 hingga 2021.
Peguam Besar Sabah, Brenndon Keith Soh, berkata kerajaan Sabah komited mematuhi isi dan maksud keputusan mahkamah, sejak ia dikeluarkan tahun lalu.
“Jabatan Peguam Besar Sabah akan sentiasa mengambil langkah undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi hak dan kepentingan Sabah,” tegasnya dalam kenyataan.
Pada 17 Okt tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Mahkamah mengeluarkan perintah mandamus yang memerintahkan kerajaan persekutuan menjalankan semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan serta bersetuju dengan hak 40% Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021 dalam tempoh 180 hari.
Pihak peguam negara memfailkan permohonan untuk menangguhkan perintah mahkamah tersebut pada 3 Mac.
Soh menerangkan bahawa kerajaan Sabah secara konsisten terlibat dalam proses libat urus bersama pihak berkuasa persekutuan. Katanya, beberapa mesyuarat serta perbincangan teknikal diadakan untuk bertukar maklumat, pengesahan data, serta mempertimbangkan kaedah sesuai bagi menentukan jumlah amaun pemberian khas.
Katanya, kerajaan Sabah melaksanakan semua sesi perbincangan tersebut secara konstruktif, telus serta dengan niat baik untuk mencapai penyelesaian yang adil, berprinsip serta boleh diterima secara bersama dalam tempoh masa yang ditetapkan mahkamah.
Katanya, kerajaan Sabah juga mengemukakan beberapa cadangan serta kerangka kerja bagi membantu pihak-pihak berkaitan mencapai persetujuan bersama.
“Kerajaan Sabah tidak ada melakukan sebarang penangguhan kelewatan mahupun tidak memberi kerjasama dalam melaksanakan perintah mahkamah,” katanya.
Soh berkata kerajaan Sabah berpendapat kedua-dua pihak perlu terus menumpukan perhatian serta mempergiatkan usaha memenuhi terma-terma perintah mahkamah, memandangkan perbincangan masih sedang berlangsung.
Kerajaan negeri dan persekutuan juga perlu bekerjasama untuk mencapai suatu penyelesaian yang adil dalam tempoh masa yang ditetapkan, katanya.
“Kerajaan Sabah kekal bersedia, bersetuju dan berkeupayaan untuk terus berunding dengan pihak kerajaan persekutuan secara konstruktif dengan tujuan mencapai suatu keputusan yang dipersetujui bersama selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang mengawal pemberian khas tersebut serta terma-terma perintah mahkamah tinggi berkenaan,” katanya.
