Pemimpin GPS nafi parti diperuntukkan 17 kerusi baharu Sarawak

Abdul Karim Rahman
Pemimpin GPS Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, 17 kerusi DUN Sarawak yang dicadangkan belum lagi disempadankan oleh SPR. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dakwaan bahawa parti politik tertentu sudahpun diperuntukkan 17 kerusi DUN yang dicadangkan mungkin perbuatan pihak yang cuba menimbulkan kekacauan, kata seorang pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menyangkal dakwaan tersebut, Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan khabar angin itu sebagai tidak berasas memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum lagi melaksanakan persempadanan semula kerusi.

“Tiba-tiba, ada pihak dakwa, daripada 17 kerusi, 10 dijamin untuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tiga untuk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dan lain-lain.

“Saya tak fikir PBB atau SUPP ada kuasa tuntut kerusi pada peringkat ini. Kerusinya belum wujud pun lagi. Saya sendiri tak tahu kerusi-kerusi itu di mana,” katanya pada sidang media di Kuching.

Kumpulan masyarakat sivil minggu lalu menggesa Pengerusi SPR Ramlan Harun agar memastikan integriti dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak akan datang, susulan penyebaran slaid pembentangan didakwa memperincikan 17 kawasan DUN baharu yang menguntungkan GPS.

Slaid pembentangan itu dilapor menggariskan kawasan mana yang akan mendapat tambahan kerusi, komposisi etnik, peruntukan dalam kalangan parti komponen GPS, serta cadangan nama untuk kawasan-kawasan baharu tersebut.

Pada Julai tahun lepas, DUN Sarawak meluluskan rang undang-undang untuk menambah bilangan kerusi daripada 82 kepada 99 kerusi.

Abdul Karim, yang juga ketua penerangan PBB menggesa orang ramai supaya berwaspada dengan laporan dalam talian yang boleh mencetuskan perpecahan.

“Mungkin cerita-cerita ini disebarkan untuk porak-perandakan kita,” katanya.

“Kita masih tunggu kelulusan Parlimen. Kenapa pula ada cerita parti-parti bertelagah tentang kerusi mana mereka akan dapat?”

Author: admin