
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarah menjalankan siasatan berhubung video tular memaparkan sepanduk dengan terjemahan ayat al-Quran yang didakwa digunakan secara salah bagi mempromosikan budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata tindakan tegas perlu diambil sekiranya didapati wujud pelanggaran undang-undang berhubung perbuatan tersebut.
Tegasnya, penggunaan ayat suci al-Quran di luar konteks sebenar bukan sahaja mengguris maruah umat Islam, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan, malah mencemar kemuliaan kitab suci itu.
“Perbuatan ini menafsirkan ayat al-Quran jauh daripada konteks serta makna sebenar ayat tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Zulkifli turut menyeru semua pihak supaya menghayati al-Quran dengan berlandaskan tradisi keilmuan yang sahih serta tidak sewenang-wenangnya menterjemah atau mentafsir ayat mengikut kehendak sendiri.
Katanya, tindakan sedemikian boleh menyesatkan daripada maksud sebenar ayat, apatah lagi jika digunakan untuk menyokong budaya yang bertentangan dengan nilai Islam.
Terdahulu, tular di media sosial satu video memaparkan sepanduk mengandungi petikan ayat al-Quran didakwa diterjemah secara tidak tepat ketika satu perarakan di ibu negara, sehingga menimbulkan reaksi pelbagai pihak.
