Harga minyak naik tak jamin dividen Petronas lebih tinggi, kata penganalisis

Tentera RON95 BUDI95 SUBSIDI BHP
PublicInvest Research mengandaikan minyak mentah brent dijangka mencecah purata melebihi USD100 setong untuk lima bulan akan datang sebelum menurun kepada USD90 menjelang akhir tahun.

PETALING JAYA: Peningkatan harga minyak global tidak semestinya menjamin pulangan luar biasa atau kenaikan dividen daripada Petronas kepada kerajaan, menurut Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Nungsari Ahmad Radhi.

Walaupun kenaikan harga secara teorinya meningkatkan pendapatan syarikat minyak nasional itu, Nungsari mengingatkan realiti operasi Petronas lebih kompleks kerana status Malaysia sebagai pengimport bersih bagi keperluan domestik.

Menurutnya, pada masa kini Malaysia perlu mengimport sekitar 180,000 hingga 200,000 tong sehari dari pasaran dunia untuk memenuhi keperluan kira-kira 700,00 tong sehari berbanding pengeluaran tempatan sekitar 500,000 tong sehari.

“Syarikat seperti Petronas memang akan melihat peningkatan keuntungan di atas kertas apabila harga global naik.

“Namun, mereka juga adalah pengimport minyak mentah bagi aktiviti hiliran,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

PublicInvest Research mengandaikan minyak mentah brent dijangka mencecah purata melebihi USD100 setong untuk lima bulan akan datang sebelum menurun kepada USD90 menjelang akhir tahun.

Menurut firma itu, pasaran minyak global kini tidak hanya mencerminkan premium perang jangka pendek apabila ketegangan antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran melonjakkan harga brent ke paras lebih tinggi.

Penganalisis memberi amaran isu lebih penting ialah tempoh bekalan di Selat Hormuz dan kemungkinan minyak kekal tinggi selama beberapa bulan berbanding beberapa minggu sahaja.

Nungsari turut berkata peningkatan harga minyak itu juga tidak semestinya akan membolehkan Petronas meningkatkan dividen kepada kerajaan bagi menampung perbelanjaan subsidi bahan api seperti RON95.

Menurutnya, ini kerana pada masa sama Petronas juga terkesan kerana syarikat itu juga pengimport minyak mentah

“Tidak semudah mengatakan harga naik, Petronas untung banyak, jadi dividen boleh dinaikkan,” katanya sambil menyatakan syarikat minyak negara itu telah mengumumkan dividen RM20 bilion pada tahun ini.

Walaupun berdepan cabaran harga, Nungsari berkata kedudukan sekuriti tenaga Malaysia masih jauh lebih baik berbanding negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang mempunyai simpanan yang rendah.

Menurutnya, simpanan minyak negara dianggarkan melebihi 140 hari, manakala Jepun mempunyai simpanan lebih tinggi sekitar 220 hari.

“Negara seperti Thailand dan Indonesia sebenarnya lebih terdedah kerana rizab mereka lebih rendah,” katanya.

Beliau turut berkata negara Asean boleh memanfaatkan kapasiti loji penapisan minyak di negara seperti Jepun atau Australia sekiranya berlaku gangguan bekalan minyak di rantau ini.

Author: admin