
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang bekerjasama dengan pihak polis dan platform media sosial untuk menjejaki individu yang didakwa memuat naik gambar al-Quran dipijak dan diconteng dengan lukisan tidak senonoh.
Menurutnya, hantaran asal di Facebook telah dipadamkan dan akaun yang bertanggungjawab, menggunakan nama ‘Dickie Borneo’, telah dikunci.
“Siasatan lanjut akan diteruskan. Hasil pemantauan lanjut oleh SKMM turut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial.
“Semua kandungan berkaitan telah dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SKMM berkata, tindakan individu terbabit bukan sahaja menghina Islam, malah boleh mencetuskan ketegangan dan mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
“SKMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja,” katanya.
Semalam, Exco Agama Sabah Arifin Arif berkata, kerajaan negeri akan melancarkan siasatan segera berhubung perkara itu memandangkan ia didakwa membabitkan rakyat Sabah.
Kejadian ini menyusuli insiden seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah mengaku tidak bersalah pada Selasa lepas atas tuduhan mencemarkan naskhah al-Quran dengan memijaknya.
S Vikneswaran memohon dibicarakan atas tuduhan menyalahgunakan kemudahan rangkaian kerana memuat naik sekeping gambar di media sosial yang menunjukkan dia memijak al-Quran.
Insiden itu mencetuskan kemarahan ramai, dengan segelintir warganet bertindak menyebarkan maklumat peribadinya di internet.
