
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan PRISMAnita iaitu satu inisiatif pusat sehenti bagi memudahkan wanita mendapatkan bantuan berkaitan pelbagai isu termasuk keganasan rumah tangga.
Anwar berkata, PRISMAnita diwujudkan bagi memastikan akses kepada perkhidmatan sokongan lebih pantas, terselaras dan mesra mangsa.
“Tawaran sokongan ini lebih menyeluruh kerana melibatkan khidmat nasihat, penyelarasan kes bersama bersama pihak berkepentingan.
“Fokusnya termasuk platfom maklumat pemadanan perkhidmatan, sokongan hadapi krisis, hub advokasi termasuk memberi kefahaman pelaksanaan Akta Anti Gangguan Seksual, Akta Keganasan Rumah Tangga dan peraturan-peraturan lain berkaitan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 di Mitec.
Beliau berkata, inisiatif tersebut tidak terhad bawah Kementerian Pembagunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKN), malah kerajaan juga akan memastikan ia didukung semua kementerian dan jabatan berkaitan.
Menurut kenyataan kementerian, PRISMAnita akan berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyatukan pelbagai perkhidmatan bawah satu bumbung, selaras konsep ‘No Wrong Door Policy’ bagi memastikan wanita yang memerlukan bantuan tidak berdepan halangan birokrasi.
Perkhidmatan itu akan beroperasi melalui pejabat pembangunan wanita negeri di seluruh negara.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan insentif pengecualian cukai kepada badan korporat yang menaja caruman skim Lindung Kasih.
“Dalam Dasar Wanita Negara 2025-2030, tumpuannya adalah pemerkasaan wanita iaitu memberikan ruang dan pendedahan berkaitan ekonomi, perlindungan sosial dan menjamin peraturan dan kaedah ekosistem pekerjaan yang lebih responsif.
“Insentif pengecualian cukai ini termasuk dalam bidang penjagaan anak-anak, peraturan kerja fleksibel, program sokongan kerjaya, kemahiran dan dasar mesra kerjaya,” katanya.
Skim Lindung Kasih yang diperkenalkan pada 2022 bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah daripada risiko bencana domestik dan keilatan ketika menguruskan rumah tangga.
Melalui mekanisme baharu itu, Yayasan Kebajikan Negara akan bertindak sebagai badan perantara kepada syarikat atau pihak yang ingin menaja caruman skim berkenaan, sekali gus membolehkan penyumbang menikmati pengecualian cukai.
