
PETALING JAYA: Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee mempersoalkan keputusan parti menggantung keahliannya selama dua penggal pemilihan, sambil mencabar kepimpinan memecatnya jika benar melakukan kesalahan serius.
Ahli Parlimen Beluran itu berkata, keputusan sekadar menggantung keahliannya menimbulkan tanda tanya, memandangkan beliau menganjurkan program ‘Reset’ diketuai Hamzah Zainudin yang dipecat parti 13 Feb lalu, selain menghadiri pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi di Bangkok.
Beliau menegaskan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan penggantungan itu.
“Jika benar itu adalah satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat? Mengapa sekadar digantung? Jika benar bersalah, pecat sahaja.
“Saya tidak akan merayu. Anggap saja tempoh rayuan ini telah tamat. Period,” katanya di Facebook yang memuat naik surat penggantungan oleh Lembaga Disiplin Bersatu bertarikh hari ini.
Dalam notis bertarikh 10 Mac, Lembaga Disiplin Bersatu memaklumkan Kiandee digantung hak keahliannya selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Notis itu menyatakan penggantungan tersebut turut melucutkan semua jawatan dipegang Kiandee dan beliau tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama parti sepanjang tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, surat ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Radzi Manan itu memaklumkan Kiandee boleh mengemukakan rayuan kepada lembaga rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Kiandee yang juga ketua whip Ahli Parlimen Bersatu diberikan surat tunjuk sebab pada 28 Feb lalu, dan diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab.
Beliau didakwa melanggar perlembagaan dan disiplin parti susulan menghadiri program berkenaan, namun mengambil pendirian tidak menjawabnya.
Kiandee mendakwa, keputusan itu menguatkan persepsi bahawa lembaga disiplin parti digunakan sebagai alat politik untuk melindungi presiden serta kelompok kecil di sekelilingnya.
“Sesiapa yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda ini akan disingkirkan. Lembaga disiplin dijadikan alat paling ampuh untuk melaksanakan tindakan tersebut,” katanya.
Beliau turut mendakwa, tindakan sama pernah berlaku terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini termasuk Hamzah.
“Akhirnya yang tinggal hanyalah mereka yang sentiasa berkata ‘ya’ kepada presiden,” katanya.
Kiandee berkata, keadaan itu wujud kerana sebahagian pemimpin dilantik oleh presiden, manakala ada yang kalah dalam pemilihan tetapi tetap diberikan jawatan, selain ada dijanjikan watikah calon.
“Saya menyertai parti ini dahulu kerana percaya ia adalah wadah perjuangan, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu. Namun, apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut,” katanya.
