3 ditahan selepas lelaki maut, adik hampir putus tangan ditetak

Hanyan Ramlan
Ketua Polis Kuala Muda Hanyan Ramlan berkata hubungan dua lelaki dan seorang wanita ditahan sedang disiasat, dengan suspek lelaki dikatakan tinggal di kawasan perumahan sama dengan mangsa. (Gambar Facebook)

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut, manakala tangan adik perempuannya hampir putus akibat ditetak awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Muda, Hanyan Ramlan, berkata mangsa berusia lewat 20-an dilaporkan mengalami tetakan berulang kali dan meninggal dunia di depan rumahnya di Taman Kempas, dekat sini.

“Kejadian dipercayai berlaku antara 12 tengah malam hingga 2 pagi tadi.

“Adik perempuan mangsa turut dilaporkan mengalami kecederaan dan tangannya hampir putus,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, beliau berkata, dua lelaki dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan.

“Motif serangan masih dalam siasatan, namun dipercayai bukan disebabkan mabuk. Hubungan ketiga-tiga suspek juga sedang disiasat dan suspek lelaki dikatakan tinggal di kawasan perumahan sama dengan mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat, manakala adiknya turut menerima rawatan di hospital sama.”

Menurutnya, beberapa senjata dipercayai digunakan suspek ditemui di lokasi kejadian serta dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 dan 326 Kanun Keseksaan.

Author: admin