Individu bercanggah semangat, nilai parti tak wajar diterima jadi ahli, kata pemimpin PKR

juwairiya
Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli berkata, parti harus semak setiap individu yang memohon jadi ahli untuk elak persepsi negatif disebabkan tindakan mereka nanti.

PETALING JAYA: Individu yang prinsipnya bertentangan dengan semangat reformasi dan politik nilai dalam PKR tidak wajar diterima menjadi ahli, kata seorang pemimpin PKR.

Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli berkata, parti tidak seharusnya menerima kemasukan ahli baharu secara automatik tanpa menyemak latar belakang mereka.

Sebaliknya, menurutnya, parti harus membuat semakan terhadap setiap individu yang memohon kerana dikhuatiri tindakan mereka pada masa akan datang akan menimbulkan persepsi negatif terhadap parti.

“Sekiranya mana-mana individu diterima, sudah tentu mereka perlu patuh kepada disiplin dan perlembagaan parti.

“Jika dengan sengaja melanggar peraturan ini, keanggotaan boleh digantung atau dilucutkan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu dilaporkan PKR menerima permohonan keahlian daripada aktivis Tamim Dahri Abdul Razak pada 5 Mac lepas.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata, permohonan itu akan melalui tapisan standard sebelum diluluskan.

Bagaimanapun, Tamim kemudian mengaku beliau sekadar ‘menganjing’ PKR dan penyokongnya dengan memohon untuk menyertai parti itu, mencetuskan tindak balas daripada Timbalan Setiausaha Agung PKR Aidi Amin Yazid yang memaklumkan parti itu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Kamil Munim berkata, permohonan Tamim bukan bermaksud aktivis itu akan terus diterima masuk, sebaliknya perlu melalui proses penilaian.

“Siapa-siapa boleh daftar dalam talian untuk jadi anggota PKR talian. Belum tentu diterima masuk,” katanya.

Author: admin