3 lagi ditahan dalam siasatan kes pukul penguat kuasa

gaduh sandakan
Tangkap layar video memaparkan seorang anggota penguat kuasa diserang ketika melakukan rondaan.

SANDAKAN: Polis menahan tiga lagi lelaki warga Filipina termasuk seorang remaja berusia 14 tahun pada Sabtu, bagi membantu siasatan kes penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dipukul ketika bertugas di pasar Batu 8, Jumaat lepas.

Ketua Polis Sandakan, George Abd Rakman, berkata mereka ditahan di Batu 8, Kampung Bariawa dan kawasan setinggan Kampung Melayu.

“Hasil soal siasat, ketiga-tiganya mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” menurut kenyataan.

Saringan air kencing mendapati mereka negatif terhadap dadah. Semua direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat, seorang anggota penguat kuasa cedera di badan akibat dipukul ketika melakukan rondaan bersama rakan selepas menegur tindakan seorang penjual rokok haram di kawasan pasar Batu 8.

Seorang ditahan pada hari kejadian.

Video berdurasi lebih seminit mengenai kejadian itu turut tular di media sosial.

Author: admin