Masuk semula Umno tanpa syarat, bukan kejar jawatan, kata ketua bahagian

khairy jamaluddin, Hishammuddin Hussein n hamzah zainudin
Khairy Jamaluddin dipecat Umno manakala Hishammuddin Hussein digantung keahlian dan Hamzah Zainudin pula keluar parti lapan tahun lalu.

PETALING JAYA: Bekas pemimpin Umno yang ingin menyertai semula parti itu diminta tidak meletak sebarang syarat, kata Ketua Umno Tampin Mohd Isam Mohd Isa.

Bercakap kepada FMT, Isam menggesa langkah berkenaan seharusnya bukan didorong untuk merebut jawatan, sebaliknya kembali memperkuatkan parti yang pernah menaikkan nama mereka.

Menurut Ahli Parlimen Tampin terbabit, beliau tidak melihat sebarang masalah parti menerima kembali bekas pemimpin terbabit walaupun kesal dengan tindakan mereka menentang Umno.

“Mereka naik dan dapat kelebihan termasuk jawatan tertinggi hasil perjuangan Umno.

Mohd Isam Mohd Isa
Mohd Isam Mohd Isa.

“Jadi kalau nak masuk Umno itu masuk tanpa syarat. Bukan mahu merebut jawatan… jadi presiden atau timbalan presiden,” katanya.

Kelmarin, Presiden Zahid Hamidi berkata Umno membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ seluas-luasnya kepada ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertainya.

Menurutnya, Umno melihat masa ini sebagai peluang mempertautkan kembali perjuangan dalam kalangan mereka yang pernah bersama parti.

Zahid berkata jawatankuasa Rumah Bangsa dipengerusikan Naib Presiden Khaled Nordin akan menyelaraskan proses penyatuan melalui tatacara bersesuaian mengikut perlembagaan parti.

Pengumuman Zahid itu disambut baik oleh bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin yang sebelum ini telah menyatakan hasrat menyertai Umno.

“Jadi saya bolehlah mula draft surat itu (mohon menyertai Umno),” kata Khairy yang dipecat pada Januari 2023, dikatakan kerana melanggar disiplin parti ketika PRU15.

Umno Sembrong pula pada 21 Jun tahun lalu meluluskan usul supaya pucuk kepimpinan Umno mempertimbangkan untuk menerima semula bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, dalam kepemimpinan parti.

Pada 2023, Hishammuddin bersama bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan, digantung keahlian selama enam tahun.

Kenyataan Zahid berhubung kesediaan Umno menerima bekas ahli turut berlatarkan krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan bekas timbalan presiden, Hamzah Zainudin, dipecat pada 13 Feb lalu.

Hamzah antara enam Ahli Parlimen Umno yang keluar parti itu pada 14 Dis 2018 dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Zahid ketika itu.

Bagaimanapun, pada masa sama Hamzah dikatakan dalam proses mengambil alih Parti Keluarga Malaysia.

Author: admin