
PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mengambil langkah susulan bagi memastikan kejadian banjir kilat di KM287 berhampiran henti rehat Nilai semalam tidak berlaku lagi.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata kejadian itu yang menyebabkan kesesakan teruk memerlukan pelan kontingensi serta kajian menyeluruh, lapor Bernama.
“Saya percaya LLM dan PLUS sudah tentu mengambil langkah susulan. Memang terdapat projek baharu di sepanjang lebuh raya yang sedang diterokai dan dibangunkan.
“Jika itu menjadi punca berlakunya banjir kilat, pihak pemaju dan kontraktor perlu mengambil tanggungjawab masing-masing,” katanya dlam satu program di Seremban.
Loke berkata kejadian banjir di lebuh raya bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna, malah turut membawa risiko keselamatan yang serius.
Semalam, beratus-ratus kenderaan terperangkap selama beberapa jam selepas semua laluan empat lorong yang menghala ke utara dan selatan ditenggelami air susulan hujan lebat sejak 6.30 petang.
PLUS dalam kenyataan memaklumkan trafik mengalami kesesakan sejauh 12km dari Kajang ke Nilai disebabkan banjir kilat di KM287 yang menyebabkan semua lorong terhalang.
