
PETALING JAYA: Hamzah Zainudin menyifatkan dakwaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa beliau telah mengkhianati parti itu hanya kerana beliau bertemu pemimpin Umno sebagai sekadar alasan untuk memecatnya.
Bekas timbalan presiden Bersatu itu berkata, sebagai ketua pembangkang, beliau bebas bertemu dengan sesiapa sahaja.
“Saya ketua pembangkang. Saya nak jumpa Loke (Siew Fook), boleh? Saya ketua pembangkang, dia menteri,” katanya selepas satu majlis di Madrasah Hafizah, Larut.
“Saya ketua pembangkang, nak jumpa timbalan perdana menteri, boleh? (Muhyiddin) takut apa? Takkanlah Zahid Hamidi boleh jatuhkan dia sebagai presiden parti?
“Itu hanya alasan untuk pecat saya dari parti. Jadi tak payahlah cerita panjang-panjang … macam budak-budaklah.”
Terdahulu dilaporkan Muhyiddin mendakwa Hamzah bertemu presiden Umno secara senyap-senyap untuk membentuk gabungan tanpa pengetahuan dan kebenaran parti.
Beliau turut mendakwa Hamzah menjadi dalang di sebalik gerakan dalaman untuk menggugat dan memecahbelahkan Bersatu, yang dikatakan menjadi alasan utama mengapa Ahli Parlimen Larut itu dipecat pada 13 Feb lepas.
Sementara itu, berhubung perbincangannya dengan Parti Keluarga Malaysia, Hamzah berkata, keputusan berhubung penglibatannya dengan parti itu akan mengambil masa.
“Kita masih perlu menilai beberapa perkara, antaranya tujuan parti itu ditubuhkan dan sama ada matlamatnya selari dengan pendirian serta perjuangan saya,” katanya.
“Proses ini mungkin memerlukan sedikit masa, walaupun pada masa ini perbincangan dengan parti tersebut sudah berada pada peringkat yang sangat hampir kepada keputusan.”
Hamzah turut memaklumkan, pertemuannya dengan parti tersebut turut disertai parti-parti lain.
