
PETALING JAYA: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak melihat berlakunya sebarang kerjasama antara beliau dengan Hamzah Zainudin selepas ini dan akan menolak jika bekas timbalannya itu mahu menyertai Perikatan Nasional (PN) menerusi parti baharu.
Muhyiddin berkata sukar untuk beliau meletakkan kepercayaan sekali lagi kepada Hamzah selepas ‘dikhianati’ dan dirinya sentiasa perlu berwaspada.
Beliau juga menegaskan hak menerima keahlian dalam PN bukannya datang daripada satu pihak sahaja, sebaliknya dengan persetujuan parti komponen.
“Saya tidak berapa yakin perkara itu boleh berlaku (kemasukan parti Hamzah ke dalam PN). Kalau dia hendak cari haluan, hala tuju, itu hal dialah. Bukan hak saya untuk mengatakan ya, di sini sana.
“Saya tidak nak campur tangan. Tapi kalau dia nak masuk PN…saya akan jawab tidak boleh sebab ‘once bitten twice shy’ (sekali dikhianati kena berwaspada).
“Orang yang sudah buat berlaku macam itu, hang nak masuk balik? PN ada empat keahlian parti yang akan mempertimbangkan boleh atau tidak. Tetapi ikut pandangan peribadi saya, kalau dalam tempoh setahun dua, tidak nampak dia ok, minta maaflah, kita ini manusiakan. Tidak semudah itu,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu, menurut Berita Harian
Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang walaupun terdapat bantahan daripada Bersatu, dengan Majlis Tertinggi PN dijadualkan bermesyuarat pada 9 Mac mengenai perkara itu
Beliau mendapat sokongan daripada 13 Ahli Parlimen Bersatu untuk kekal menyandangnya, serta lima lagi yang sebelum ini telah dipecat daripada parti.
Semalam, Hamzah mengesahkan wujud perbincangan mengenai kemungkinan mengambil alih Parti Keluarga Malaysia namun beliau berkata ia masih di peringkat awal dan belum muktamad.
Kenyataan itu mengukuhkan laporan sebelum ini yang mendedahkan dakwaan beliau sedang mengatur langkah untuk mengambil alih parti terbabit, yang dikatakan berpotensi menyertai PN.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang ditanya sama ada beliau bersemuka dengan Hamzah susulan tindakan pengkhianatan yang didakwa itu, beliau berkata ia telah dinafikan.
“Kalau saya tanya Hamzah, Hamzah kata ‘No sir, I am always your supporter. Number one supporter.’ (Tidak tuan, saya penyokong nombor satu anda). Tapi bila awak cakap begitu (tindakan dibuat Hamzah), saya sudah tidak percaya lagilah nama itu. Minta maaf.
“Apabila anda hilang keyakinan dengan seseorang seperti itu kerana ia tidak berlaku jujur …ia adalah perkara besar. Saya perlu lindungi parti saya. Takkan boleh biarkan orang rosakkan parti saya.
“Hendak saya biarkan? Sebagai pengasas saya tidak rela. Saya bercakap dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi walaupun saya seorang saja yang tinggal saya akan pertahankan Bersatu. Itu pendirian saya,” katanya.
Mengenai tindakan yang akan diambil terhadap mana-mana pemimpin Bersatu yang kelihatan menyokong Hamzah, Muhyiddin berkata tindakan disiplin adalah tugas berterusan.
Bersatu masih kukuh
Muhyiddin juga menolak dakwaan kononnnya Bersatu sudah karam dengan pemecatan beberapa pemimpinnya sebelum ini.
Katanya, beliau melihat Bersatu mempunyai barisan pelapis yang cukup termasuk Naib Presiden Radzi Jidin dan Faizal Azumu, Setiausaha Agung Azmin Ali, Ketua Pemuda Hilman Idham dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Dr Afif Bahardin.
Menurutnya, dirinya tidak akan mentadbir parti selama-lama dan bersedia menyerahkan kepimpinan kepada barisan muda tidak lama lagi.
“BERSATU masih kukuh, relatifnya masih kukuh. Beritahu saya kalau kata ramai sudah ikut Hamzah, berapa ratus ribu yang ikut beliau? Berapa ketua bahagian yang sudah cabut lari? Bukan semua Ahli Parlimen atau Adun…yang lain masih utuh.
“Saya fikir tempoh masa akan datang, pimpinan yang akan mengambil alih adalah tokoh jauh lebih muda dari saya. Saya tak fikir akan menongkat langit sampai mati.
“Parti membuat keputusan untuk kekalkan saya selama tiga tahun, ada dua tahun lagi …kot sampai setahun lagi sampai masa saya serah, saya serahlah. Tapi politik tidak semudah kata, hendak berhenti ada cara, buat persiapan kelengkapan rumah kena cukup kuat …saya akan sampai situ tempoh tidak berapa lama lagi,” katanya.
